The songs from a person called human.

p/s: No matter how gifted you are, not everyone is gonna like you.
Di siang hari...Aku memahami...
Tuesday, June 21, 2011
Sesi kaunseling berakhir dengan jayanya tanpa aku sedari.
Aku ingat ia akan menjadi sesuatu yang sangat formal sehingga aku sendiri akan terasa janggal.
Tetapi aku merasakan kaunselor itu lebih memahami dari ibuku sendiri.
"Ada apa, Syuhada? Nampak tegang sahaja?" Dia tersenyum di birai pintu mempersilakan aku masuk.
Habis semuanya aku luahkan dengan deraian air mata yang dah lama aku simpan.
Dia duduk tanpa sepatah kata sambil memerhatikan reaksi aku. Dia hanya menyebut "Syuhada. Cerita lagi."
Aku rasa sebak bila ada lagi orang yang teringin nak mendengar suara hati aku.
Bertambahlah air mata sampai lencun tudung aku.
Dia masih duduk di depanku sambil tersenyum lagi.

Setelah selesai aku bercerita dengan panjang lebarnya, dia mengangguk.
"Baiklah Syuhada, mari kita tengok apa cara yang boleh tolong kamu."
Lega hati aku mendengar ayat itu. Akhirnya aku jumpa juga cahaya yang dah lama terpadam.
Patutlah Allah memberi mimpi padaku semalam supaya bertemu dengan seorang pakar kaunseling untuk menyelesaikan masalah aku yang tak berpunca.
Jadi di sini, aku ingin berkongsi serba sedikit yang aku dapat agar ada manusia yang seperti aku dapat manfaatnya juga dan dapat mengingatkan aku apabila aku menghadapi masalah yang sama lagi.

Anda seorang pendiam? Anda takut untuk bercakap? Anda tak suka benda yang remeh? Tak suka keadaan yang hingar-bingar?
Anda adalah seorang yang unik kerana diberi kelebihan tidak suka bercakap.
Jangan berasa rendah diri dengan sifat itu kerana ia bukan satu kelemahan diri.
Jangan menghukum diri kerana tanggapan orang lain.
Cuba tukarkannya kepada sesuatu kelebihan diri.
Sebagai contoh, anda dapat menyiapkan kerja rumah anda tatkala rakan-rakan yang lain sibk bersembang.
Bukankah ia satu kelebihan kerana masa anda sudah teratur dan kerja anda sudah disiapkan dengan lebih awal?

Anda dikatakan sombong dan berlagak?
Berterima kasih kepada orang itu kerana telah mengingatkan anda agar tidak menjadi sombong dan berlagak.
Jika anda tidak merasakan anda seorang yang sombong, anda tidak perlu kisah dengan tanggapan orang lain terhadap anda. Jangan bebankan diri dengan hukum itu dan cuba merubah diri melawan sifat anda. Anda mungkin akan mengakhirinya dengan satu tekanan yang tinggi kepada diri.
Jika anda merasakan anda adalah sebegitu, minta maaf dan ubah diri agar tidak lagi dikatakan begitu namun bukanlah perubahan yang drastik. Cuba bergaul dan beramah mesra dengan dengan orang di sekeliling anda agar anda tidak berasa kekok dengan keadaan.

Jika rakan anda tidak berkawan dengan anda kerana tidak menyukai sikap anda yang tidak suka bercakap, haruskah anda bersahabat dengannya?
Adakah dia seorang sahabat yang baik dengan tidak memulakan perbualan dengan anda dan mengenepikan perasaan dan diri anda?
Dia telah meletakkan syarat untuk bersahabat dengan anda dan menghakimi diri anda tanpa menyiasat terlebih dahulu mengapa anda sedemikian.
Dia telah menilai anda hanya dari sudut luaran dan tidak memahami sifat dalaman anda.
Dia tidak mahu mempelajari tentang diri anda dan hanya mengharapkan anda untuk memahaminya sedangkan anda sendiri mempunyai masalah komunikasi dan pemahaman.
Dia tidak cuba bertanya kepada anda mengapa anda tidak bercakap dengannya, adakah itu salah anda?
Jika salah anda, cubalah meminta maaf kepadanya dan memaafkan kesalahannya tidak bertanya.
Jika dia mensabotaj atau masih menghukum anda dengan perkataan yang tak sepatutnya ditujukan kepada anda, bersabar dan ingatlah akan hukum dosa dan pahala Allah yang telah Dia tetapkan kepada hamba-Nya.
Jika dia masih membenci anda tanpa sebab selepas anda meminta maaf kepadanya dan tidak menerangkan hal sebenarnya, anda mempunyai tiga pilihan.

Pilihan pertama, minta kaunselor mengadakan kaunseling berkelompok bersama sahabat anda itu. Dengan kehadiran kaunselor, dia dapat meningkatkan suasana dan membantu anda meluahkan perasaan hati anda dan mendengar keluhan sahabat anda. Seterusnya mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan itu.

Pilihan kedua, anda sendiri bertemu dengannya dan menerangkan hal sebenarnya kepada dia. Seterusnya memohon maaf untuk kali kedua dan terakhir jika selepas ini anda memutuskan untuk tidak bercakap dan bersapa dengannya selepas ini.

Pilihan ketiga, anda tidak mahu bertemu dengannya dan tidak mahu bercakap dengan dia. Mungkin kerana anda sudah serik dengan sahabat yang begitu. Itu adalah hak anda dan anda telah memohon maaf di atas kesalahan anda terdahulu. Anda juga perlu memaafkan mereka di atas kesalahan mereka yang mungkin tidak disedari agar tidak menjadi dendam. Selepas itu, mulakan hidup baru tanpa terikat lagi dengan mereka.

Dan pilihlah kawan yang baik agar anda sendiri menjadi baik.
Berdoalah kepada Allah agar menjadikan diri kita kawan yang baik agar dapat bersahabat dengan orang lain.
Kawan yang baik adalah kawan yang tidak menghukum sahabatnya,tidak meletakkan syarat persahabatan, tidak membiarkan sahabatnya keseorangan, menerima anda seadanya dari segi dalaman dan luaran. Dia juga cuba sedaya upaya memahami anda agar anda juga terbuka untuk memahami dirinya.
Kawan bukannya satu.

Berdoa dan mohonlah kepada Allah membantu anda menyelesaikan masalah anda.
Ingatlah, Allah menduga hamba-Nya mengikut kemampuannya bukan kerana menyeksa.
Dengan itu, manusia akan ingat siapa penciptanya, siapa tempat meminta pertolongan.
Tawakkal adalah anak kuncinya untuk mendapat kenikmatan kepayahan itu.

Kepada pelajar, ingatlah ibu bapa anda. Dengan itu, anda akan melupakan hal remeh-temeh antara anda dan sahabat anda dan fokus kepada pelajaran anda agar dapat membantu mereka kelak.
Untuk berjaya, memang mempunyai banyak rintangan.
Jika anda berjaya tanpa apa-apa halangan, itu bukanlah kejayaan semata-mata. Itu adalah kegagalan anda yang sebenar.
Lagi banyak halangan yang menimpa, lebih banyak rahmat Allah yang Dia curahkan.
Lagi manis nikmat kehidupan yang anda rasai terutamanya ketika anda mengecapi kejayaan tersebut hasil usaha anda sendiri.

Alhamdullillah, sentiasa menyebutnya.
Alhamdulillah, aku berasa ringan dan beban di dadaku dan bahuku sudah beransur hilang.
Alhamdulillah, aku berjaya luahkan semuanya tanpa berselindung.
Alhamdulillah, Allah telah membantu aku dengan ujian-Nya.
Alhamdulillah, aku bertekad menjadi diri aku semula, lebih berkeyakinan dan lebih meningkat dari sebelumnya.
Alhamdulillah, aku tak perlu menipu diri lagi.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah.

←newer post
older post→