The songs from a person called human.

p/s: No matter how gifted you are, not everyone is gonna like you.
Salam Maulidur Rasul
Sunday, January 19, 2014


Yes, a little late but better than never. There was once that his birthday was on the same day with me or a day before mine. 12 Rabiulawal, yes, his birthday. or in Masihi, 20 April, well mine is 21. May Allah bless him always and may he be in peace. I love Rasulullah more than myself. Of course I am and if you want to know more about the blessed one, you can google prophet Muhammad S.A.W. While browsing Langit Ilahi, I found this beautiful one-shot about Muhammad, written by Hilal Asyraf, sadly in Malay. It makes me cry in the morning. It makes me remember him when I forgot him the most. Well, enjoy!!!


---------------------------------------------------------------------------------------------






Cerpen: Kisah Pemimpin yang Terbuang


Suasana lembah itu benar-benar hangat. Isu siapakah yang layak meletakkan hajarul aswad masih tidak menemui jawapan. Masing-masing merasakan diri mereka adalah yang paling layak untuk melakukan tugas yang mulia itu.


Ini adalah hari kelima mereka bersengketa akan hal ini.


“Kami adalah yang paling layak!”


“Tidak, suku kaum kami lebih mulia daripada kamu!”


“Tidak, kami adalah lebih mulia daripada kaum kamu berdua.”


Salah seorang daripada pemimpin-pemimpin yang ada mula mengepal penumbuk, dan mencapai hulu pedang yang tersandang pada pinggang. “Kita selesaikan sahaja hal ini dengan kekuatan!”


Seterik mentari yang memanah Masjidil Haram ketika ini, sehangat itulah juga jiwa-jiwa yang hadir melihat tindakan tersebut. Ibarat air yang mendidih, semua kelihatannya tertolak untuk mengambil solusi itu.


“Berhenti.” Satu suara datar kedengaran, ibarat hujan yang turun memadamkan api yang marak. Semua mata yang ada, memandang kepada pemilik suara.


Abu Umaiyah bin Mughirah Al-Makhzumi, seorang yang berusia, antara pemimpin yang disegani di sini, kelihatan berdiri dari duduknya.


“Bagaimana jika aku mencadangkan, biarlah manusia yang pertama sekali memasuki Masjidil Haram ini pada esok pagi, menjadi orang yang memilih siapakah yang layak untuk tugas ini.”


Melihat pendapat itu lebih rasional dan adil, semua melepaskan pegangan tangan pada hulu senjata.


“Kita akan lihat esok.”


Mentari terbenam dan malam bergerak, hingga cukuplah putaran bumi memunculkan mentari di esok pagi. Masing-masing teruja menanti, siapakah yang akan muncul memasuki Masjidil Haram paling awal hari ini.


Dan seorang lelaki muncul. Menapak selangkah demi selangkah menuju Rumah Hitam yang baru siap dibina semula.


Ramai orang yang ada tersenyum spontan melihat siapa yang hadir itu. Mereka merasakan bahawa, keputusan yang adil pastinya akan keluar dari lelaki yang hadir ini. Hal ini kerana mereka amat mengenali lelaki ini. Lelaki ini adalah:


“Al-Amin telah datang! Kami akan patuh dengan keputusannya!” Dan jeritan pemimpin-pemimpin yang kegembiraan itu jelas menunjukkan keredhaan mereka, sekaligus menggambarkan peribadi lelaki yang hadir itu.


Lelaki itu nyata tidak ralat untuk membantu apabila disuakan permasalahan mereka. Menggambarkan kematangannya, kebijaksanaannya, dalam menghadapi situasi-situasi yang mengejutkan.


Solusinya amat bijak dan mudah. Adil dan saksama. Menyenangkan hati semua dan menyebabkan semua berpuas hati dengan keputusan yang diberikan olehnya.


Rida’nya dilepaskan menjadi alas. Hajarul Aswad diletakkan di atas kain rida’ itu. Setiap pemimpin kabilah memegang hujung kain rida’. Kala tiba di tempatnya, yang meletakkan Hajarul Aswad pada tempatnya adalah dirinya.


Tindakan ini sekaligus meredakan keadaan yang semalamnya tegang.


Semua orang rasa seperti lelaki itu datang sebagai bantuan Allah SWT. Lelaki yang tiada prejudis. Terkenal amanah dan adil. Sesuai dengan gelaran ramai kepadanya – Al-Amin, yakni yang dipercayai. Ramai penduduk Makkah yang sering menitipkan barang kepadanya, dan tidak kurang juga yang amat arif bahawa suami kepada Khadijah inilah yang sering membawa pulang keuntungan berkali ganda ketika berniaga kerana kejujuran dan ketelusan yang ada padanya.


Seorang yang sering menyambung silaturrahim, tidak pernah keluar kata-kata kesat daripada mulutnya, penyabar dan baik hati, sering tersenyum dan amat menghormati orang lain.


Muhammad, itulah namanya.


Dihormati, disayangi, disegani, dipercayai oleh kaumnya.


*********






Hari itu, rata-rata mereka mendapat panggilan daripada Muhammad. Katanya, ada sesuatu yang penting untuk disampaikan. Maka di Bukit Safa mereka berkumpul, dan mereka dapat melihat Muhammad berdiri di atas bukit yang menjadi tempat Sa’ie itu.


“Mengapa ya Muhammad mengumpulkan kita di sini hari ini?” Kedengaran seorang lelaki separuh berbisik dengan rakan sebelahnya.


Rakannya itu menjungkit bahu. Tidak tahu.


Orang ramai mula berbisik-bisik. Masing-masing tidak pasti apakah tujuan Muhammad, lelaki yang dipercayai ramai itu mengumpulkan mereka di sini. Terik mentari di tempat ini membuatkan suasana itu semakin membingungkan.


“Wahai kaumku, seandainya aku memberitahu kalian bahawa ada tentera berkuda di balik bukit ini sedang mara untuk menyerang kita, apakah kalian akan mempercayaiku?” Pertanyaan itu membuatkan suara-suara yang kebingungan terhenti.


“Semestinya kami percaya. Kau tidak pernah berbohong kepada kami.” Salah seorang dari yang hadir menjawab.


“Sesungguhnya, aku adalah pemberi peringatan, sebelum kamu semua menerima seksaan yang berat.”


“Celakalah engkau wahai Muhammad! Apakah engkau mengumpulkan kami hanya kerana ini?” Satu jeritan terlancar keluar dari tengah-tengah manusia yang berkumpul. Kini semua memandang si pemilik suara.


Abu Lahab. Bapa saudara Muhammad.


Mendengar penentangan itu, semua yang berkumpul bersurai, meninggalkan Muhammad keseorangan di atas Bukit Safa. Semua menggeleng kepala.


“Apakah yang telah berlaku kepada Muhammad?”


Mereka amat mengetahui betapa Muhammad tidak meminum arak, tidak pula pernah dilihat Muhammad tunduk menyembah berhala mereka. Mereka juga mengetahui kebelakangan ini Muhammad kelihatan lebih lain dari sebelumnya. Dia kelihatan mempunyai pengikutnya sendiri dari kalangan orang miskin dan hamba. Abu Bakr anak kepada Abi Quhafah yang juga rakan baiknya, kelihatan semakin rapat dan sering bersama-samanya dalam perkara itu.


“Apakah Muhammad hendak menentang tuhan-tuhan kita?” Pertanyaan itu muncul.






******






Semenjak itu, gelaran Al-Amin seakan tidak pernah wujud. Mata penduduk Makkah melihat sendiri apa yang dilakukan orang ramai kepada Muhammad dan pengikut-pengikut kepada ajakannya.


Siapakah yang dapat melupakan saat Amr ibn Hisyam melemparkan perut unta yang penuh dengan najis di dalamnya ke tengkuk Muhammad yang sedang sujud. Langsung Muhammad tidak bangkit dari sujudnya, sehingga anak perempuannya bernama Fatimah datang mengangkat perut unta itu dan mencucinya.


Siapakah yang dapat melupakan hari di mana pemimpin-pemimpin Makkah memukul Muhammad hanya kerana dia mengajak kepada penyembahan Tuhan yang satu dan cara hidup di bawah lembayung Islam, hingga sahabatnya Abu Bakr itu terpaksa masuk campur dengan berteriak:


“Apakah kamu hendak membunuh seseorang hanya kerana dia berkata: Tuhan Aku adalah Allah?”


Akibatnya Abu Bakr yang dipukul orang ramai sehingga pengsan pada hari itu.


Siapakah yang dapat melupakan musim-musim haji yang menjadi saksi kepada hinaan-hinaan terhadap Muhammad. Musim itulah Muhammad berusaha untuk mendekati manusia-manusia dari luar Makkah yang datang, namun dihalang usahanya oleh Amr ibn Hisyam dan rakan-rakan dengan menyebarkan kepada orang ramai bahawa Muhammad itu gila, ahli sihir, pemisah antara suami isteri dan sebagainya.


Tiada siapa lupa bagaimana pengikut-pengikut Muhammad turut diseksa. Umaiyah Bin Khalaf menyeret Bilal bin Rabah di padang pasir dan menghempap lelaki habasyi itu dengan batu besar di tengah terik mentari. Semua penduduk Makkah tahu bagaimana Sumaiyah dan suaminya Yasir mati disula oleh Amru Ibn Hisyam. Tiada siapa dapat melupakan hari di mana Hamzah, bapa saudara Muhammad menyertai anak saudaranya itu kerana tidak tahan melihat Amru Ibn Hisyam yang giat menyeksa dan memperlekehkan Muhammad.


Semua juga mengingati betapa Quraiys amat tidak senang dengan usaha Muhammad menjaga sahabat-sahabatnya, lantas mengejar mereka yang berhijrah ke Habsyah dan berusaha agar semua pengikut Muhammad dibawa pulang.


Tidak ada seorang pun masyarakat Makkah yang lupa, 3 tahun 3 bulan penuh penyiksaan kepada Muhammad dan pengikutnya, berserta Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib yang melindunginya. Mereka dipulau dari segala segi. Tidak dibenarkan berjual beli dengan orang lain, tidak dibenarkan mengahwini atau dikahwini, tidak dibenarkan berbicara atau memulakan perbualan, tidak dibenarkan pula sesiapa membantu mereka. Hingga mereka terpaksa merebus semula kasut-kasut kulit mereka, untuk makan. Bahkan ada yang pecah-pecah bibir kerana mengambil ranting kayu dan daun-daun kering sebagai pengalas perut.


Semua orang tidak akan lupa, bagaimana diperhebatkan lagi seksaan terhadap Muhammad dan pengikutnya yang semakin berkembang itu, selepas kematian Abu Talib dan isterinya Khadijah.


Dan semua orang masih ingat, bagaimana Muhammad pulang ke Makkah bersama Zaid Ibn Harithah, dalam keadaan luka-luka dan berlumuran darah. Ternyata pemimpin Quraisy telah pergi ke Taif terlebih dahulu dan menceritakan hal yang bukan-bukan akan Muhammad, menyebabkan dia dilayan sedemikian apabila datang menyebarkan dakwahnya.


Akhirnya, tiada siapa melupai, hari di mana Muhammad meninggalkan tanah tempat besarnya yang dicintai, menuju ke Yathrib bersama Abu Bakr. Pada hari itu juga, Amru Ibn Hisyam dan konco-konconya merangka strategi untuk menamatkan riwayat Muhammad, namun gagal kerana tertidur. Anugerah 100 ekor unta disuakan kepada sesiapa yang mampu menghalang hijrah Muhammad dan membawanya kembali ke Makkah, tetapi tiada yang pulang bersamanya.


Begitu sekali mereka melayani manusia bernama Muhammad itu.


Tiada ada penduduk Makkah yang lupa, apa yang dilakukan oleh mereka terhadap Muhammad.


Satu hari dahulu merupakan Al-Amin kepada mereka.


Pemimpin yang dipercayai mereka.






*******






Walaupun Muhammad telah tiada di lembah Makkah, namun namanya sering menjadi sebutan ramai. Dia dan pengikut-pengikutnya yang sudah mempunyai kuasa kerajaan di Yathrib, atau namanya kini Madinah, menjadi isu harian di Makkah.


Apatah lagi selepas peperangan Badar yang terkenal itu, mereka berjaya dengan jayanya, walaupun dengan bilangan yang sedikit.


Mata-mata penduduk Makkah melihat bagaimana Amru ibn Hisyam tidak pulang dari Badar pada hari di mana pejuang-pejuang lain pulang dengan luka-luka yang parah. Nasib yang sama menimpa Umaiyyah bin Khalaf.


“Aku, aku melihat bagaimana Abu Jahal tumbang di tangan dua orang anak muda.” Salah seorang tentera bercerita.


Hindun binti Utbah sudah seperti orang gila. “Abu Sufyan, aku tidak akan menyetubuhimu sehinggalah kekalahan ini dibayar semula!” Herdiknya kepada Abu Sufyan yang jelas keletihan.


“Aku dengar, Umaiyyah bin Khalaf tumbang di tangan hambanya dahulu, Bilal.” Satu lagi suara kedengaran di tengah pasar Makkah, hangat dengan kisah yang terbaru lagi menggemparkan itu.


“Sungguh tidak sangka, 70 orang kita tumbang, manakala 70 ditawan.” Seorang perempuan menggeleng kepala. Rakan-rakannya mengangguk sahaja.


Masing-masing teringat akan bagaimana Muhammad dan para pengikutnya dilayan.


“Bagaimana agaknya satu hari nanti, andai mereka kembali ke mari?”


Dan persoalan itu tinggal begitu sahaja tanpa jawapan.


Mungkin itu adalah mimpi ngeri buat mereka.






******


Walaupun dijangkakan bahawa peperangan Khandaq akan menghapuskan terus Kerajaan Islam pimpinan Muhammad di Madinah, memandangkan tentera seramai 10,000 hasil gabungan Quraiys Makkah dengan Bani Ghatfan dan bantuan dari dalam Madinah sendiri daripada Kaum Yahudi Bani Nadhir, tetapi nyata gabungan Al-Ahzab itu tewas dan pulang dengan hampa.


Semenjak itu, tiada peperangan lagi dilancarkan dari pihak Quraiys Makkah kepada Muhammad dan pengikutnya di Madinah. Tiada lagi kekuatan. Tiada lagi keyakinan. Walaupun kala Peperangan Uhud dahulu mereka berjaya membuatkan tentera Muhammad berundur dalam kekalahan, tetapi nyatanya tiada dari kalangan Quraisy yang berani mengaku bahawa mereka mencapai kemenangan. Dan kini Khandaq ibarat tamparan keras bagi mereka.


Mengetahui bahawa Muhammad hendak kembali ke Makkah bagi melaksanakan umrah, maka strategi licik direncana, agar sesuatu diperolehi di pihak Quraisy.


Berlakulah Perjanjian Hudaibiyah, yang memang sudah dirancang penuh licik agar perjanjiannya menyebelahi pihak Quraisy. Mereka sudah mengetahui bahawa, Muhammad itu dengan rasa cintanya kepada bumi kelahirannya, dan besarnya perasaan untuk melaksanakan umrah, akan mahu tidak mahu perlu bersetuju dengan perjanjian yang disuakan.


Nyata Muhammad bersetuju.


Kaum Quraisy terasa bahawa mereka telah berjaya. Menunjukkan kekuatan perjanjian itu dalam peristiwa Abu Bashir yang cuba lari ke Madinah. Dengan angkuh, Abu Bashir dibawa pulang ke Makkah untuk terus diseksa.


Muhammad itu, walaupun telah berjaya membuktikan bahawa dirinya dan apa yang dibawanya itu penuh dengan kegemilangan kebenaran, kaum kerabat yang dahulu menggelarkannya Al-Amin itu nyata masih berlaku zalim dan merancang untuk melukakannya dengan apa cara sekalipun.






********






Tiada siapa menyangka, ketundukan Muhammad menerima perjanjian Hudaibiyah yang berat sebelah itu nyata tindakan yang strategis. Memandang jauh ke hadapan, hakikatnya perjanjian itu adalah perjanjian yang menyebelahi Muhammad dan para sahabatnya.


Abu Bashir yang ditangkap melarikan diri. Tidak kembali ke Madinah akibat perjanjian Hudaibiyah, dia membuat perkhemahan di tengah padang pasir. Kerjanya adalah menganggu kafilah perniagaan kafir Quraisy, dan merampas barang-barang yang dahulunya merupakan hak milik orang Islam. Tidak balik ke Madinah menyebabkan hal itu tidak boleh disangkutkan kepada Muhammad.


Pada masa yang sama, akibat Perjanjian Hudaibiyah juga, Muhammad dan pengikutnya tidak akan lagi diganggu. Gencatan senjata antara kedua-dua belah pihak selama 10 tahun nyata memberikan banyak kelebihan kepada Muhammad dan para sahabatnya, berbanding kelebihan kepada Quraisy dan kuncu-kuncunya. Pergerakan dakwah mereka tersebar lebih meluas. Bahkan setahun selepas perjanjian itu, Muhammad datang ke Makkah menunaikan umrah bersama para sahabat.


Terserlah keceriaan mereka, keindahan akhlak mereka, kebersihan peribadi mereka sewaktu mengerjakan umrah. Muhammad yang dahulunya terpaksa berhijrah dari negerinya sendiri di waktu malam dengan bersembunyi, kini sudah mempunyai ramai pengikut yang beriman dengan apa yang ditolak oleh kebanyakan penduduk Makkah dahulu.


“Mengapa kita tidak menerima dia dahulu?” Salah seorang penduduk menimbulkan persoalan, apabila melihat Muhammad dan para sahabatnya mengerjakan umrah. Umrah mereka nyata bersih dari sebarang tahyul dan adab kurang sopan warisan musyrikin Makkah selama ini. Mereka bertawaf dengan berpakaian. Mereka tidak mempunyai minuman keras. Mereka berhubungan erat dan kelihatan ceria dalam beribadah.


“Kerana dia mengajak kita kepada Tuhan Yang Esa, dan meninggalkan agama nenek moyang kita. Mustahil satu tuhan dia, mampu membahagiakan kita, sedangkan kita selama ini menyembah 360 tuhan pun masih banyak dugaan dan cabaran.” Seorang lagi penduduk menjawab sambil kedua-dua belah tangan bersilang pada hadapan dada.


“Aku rasa, mereka akan memenangi perjuangan mereka.”


Dan seorang lagi sekadar berdiam diri.


Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib. Digelar Al-Amin.


Mengapa mereka terlalu bodoh dan tidak mempercayainya dahulu?






*******






Hari itu telah tiba. Hari yang amat digeruni semua. Jelas nyata berita yang hadir sebelum ini ibarat sangkakala petanda kiamat. Mungkin sahaja kehidupan mereka akan menemui penamat.


Perjanjian Hudaibiyah nyata telah dilanggar. Lebih buruk, dilanggar oleh Pihak Quraisy Makkah sendiri. Tidak tertahan dengan perkembangan Islam di Madinah, mereka berganding bahu dengan musuh Islam, membantu mereka membunuh orang-orang yang menganut Agama Islam di luar Madinah.


Imi semua adalah angkara Bani Bakar yang meminta bantuan Kaum Quraisy untuk menyerang Bani Khuza’ah, yang kala itu telah beriman kepada dakwah Muhammad. Seruan itu disahut kaum Quraisy tanpa berfikir panjang. 20 orang terbunuh dari kalangan Bani Khuza’ah ketika itu. Maka pecahlah perjanjian gencatan senjata antara Kaum Muslimin di Madinah dengan Kaum Quraisy Makkah.


Abu Sufyan dihantar, untuk memerhatikan tentera Muhammad. Dijangka pulang hari ini, untuk membuat persediaan. Namun di dalam hati penduduk Makkah kini, bersama-sama pemimpinnya, gusar. Hal ini kerana, masing-masing mengetahui apakah yang mampu dilakukan tentera Muhammad kini.


Selepas peristiwa Hudaibiyah tempoh hari, Muhammad dan para sahabatnya terus gencar meneruskan perjuangan. Bilangan yang beriman kepada apa yang didakwahnya bertambah dari hari ke hari. Peperangan demi peperangan dimenangi.


Penduduk Makkah sentiasa mendapat berita. Perang Khaibar yang melumpuhkan terus kekuasaan Kaum Yahudi di Madinah, diikuti tindakan Muhammad mengutus surat kepada raja-raja Rom, Parsi, dan pemimpin-pemimpin kabilah, mengajak mereka semua beriman kepada tuhannya, Allah. Walaupun tidak semua menerima, tetapi pengaruh Muhammad dan capaian agama Islam itu semakin meluas. Tidak cukup dengan itu, apabila pembawa surat Muhammad kepada Kerajaan Rum dibunuh, segera Muhammad merespon dengan menghantar tentera ke Mu’tah untuk bersemuka menunjukkan bahawa mereka bukan kaum yang boleh diperlakukan begitu sahaja.


Perang itu nyata membuka mata dan membuatkan banyak pihak segan dengan Muhammad dan para sahabatnya. Hal ini kerana, tentera Rum terpaksa berundur walaupun tentera Muslimin mempunyai bilangan yang jauh lebih sedikit dari mereka.


Dan hari ini, kumpulan yang mampu mengundurkan Rum itu hendak mengetuk pintu Makkah?


Saat ini, ramai orang mula terkenangkan hal-hal lama.


Saat di mana Muhammad dibaling perut unta. Saat di mana Muhammad dipukul hingga terpaksa diselamatkan Abu Bakr. Saat di mana Muhammad dan para sahabatnya dipulau 3 tahun 3 bulan. Saat di mana ada pengikut-pengikut Muhammad yang dibunuh. Saat di mana perwira-perwira Quraisy berusaha membunuhnya ketika hijrah, dan juga di Medan Uhud. Saat di mana mereka melapah mayat Khubaib ibn ‘Adi di khalayak ramai. Saat mereka mengumpulkan ramai orang untuk membenamkan Kerajaan Islam Madinah semasa Khandaq. Saat di mana mereka dengan licik membuat perjanjian hudaibiyah itu berat sebelah.


Semua itu menjengah minda.


Gerun.


“Oh Penduduk Makkah!” Kedengaran suara Abu Sufyan ibarat halilintar yang menyabung. Abu Sufyan telah pulang. Tetapi melihat lelaki itu termengah-mengah seperti dikejar hantu, pastinya berita tentera Muhammad amat menggerunkan dan takkan mampu dilawan.


“Muhammad berkata, barang siapa yang masuk ke rumah aku, Abu Sufyan, akan selamat. Barang siapa yang sekadar menunggu di dalam rumah akan selamat. Dan barangsiapa yang berada di dalam masjidil haram akan selamat!”


Jeritan itu, datang pula daripada Abu Sufyan yang nyata selama ini memusuhi Muhammad dan para sahabatnya, membuktikan bahawa tentera yang hadir bersama Muhammad kini tidak akan mampu dikalahkan oleh mereka.


Terus berpusu-pusu penduduk Makkah pada hari itu berlari. Ada yang masuk ke rumah masing-masing. Ada yang berlari masuk ke Masjidil Haram. Kecuali sekumpulan manusia yang degil, dipimpin oleh Ikrimah ibn Amr ibn Hisyam.


“Barangsiapa yang hendak menentang Muhammad, mari bersamaku!” Laung Ikrimah. Berani. Namun hanya beberapa orang sahaja menyertainya. Penduduk Makkah lain sekadar menggeleng kepala. Kasihan. Itu namanya hanya menempah maut sahaja.


Bumi Makkah hari itu bergegar. Derapan kaki-kaki kuda dan manusia yang seiring, membuatkan semua yang menyaksikan suasana itu seperti hendak tercabut keluar jantungnya. Muhammad bukan lagi yang diikuti hanya orang-orang miskin dan hamba. Muhammad bukan lagi yang dilindungi orang-orang yang hanya berpelepah kurma. Muhammad bukan lagi dikelilingi sahabatnya yang sedikit.


Kini di hadapan mata mereka, Muhammad sedang menundukkan diri hingga hampir mencium belakang untanya, terkumat kamit mulut lelaki itu bersama lelehan air mata, mungkin sedang merafa’ syukur dan memulangkan segala pujian kepada tuhannya. Lelaki itu kini masuk ke Makkah bersama-sama para sahabat yang merupakan tenteranya kini. Berpakaian serba hitam, berbaju perang serba lengkap, bersenjata serba sempurna, bahkan kebanyakan mereka menunggang kuda dan unta, dan bilangan mereka mencecah 10,000 orang. Angka yang hanya dicapai oleh Quraisy semasa perang Khandaq, dengan bergabung bersama Bani Ghatfan.


Tentera dari Madinah itu memasuki Makkah dari empat penjuru. Perjalanan yang langsung tidak menerima penentangan, kecuali dari arah yang diketuai Khalid Ibn Walid. Ditentang oleh Ikrimah, namun pasukan penentang itu hancur begitu sahaja dan Ikrimah ibn Amr ibn Hisyam telah melarikan diri.


Kini semuanya berkumpul mengelilingi Rumah Hitam, yang selama ini menjadi saksi penyeksaan terhadap Muhammad dan para sahabat.


Suasana jadi senyap sunyi. Masyarakat Makkah terpaksa menundukkan kepala, menanti apakah yang akan jatuh pada leher mereka hari ini. Terbayang segala perbuatan terhadap Muhammad dan para sahabat. Tambah pula, di lembayung Ka’bah inilah leher lelaki itu dilempar najis, nama lelaki itu dihina, dan di tempat ini jugalah lelaki itu sering dipukul dan perlekehkan semua.


Tiada siapa berani mengangkat wajah memandang Muhammad hari ini.


Tiba-tiba kedengaran suaranya yang lembut dan sederhana.


“Wahai penduduk Makkah, pada sangkaan kamu, apakah yang aku lakukan kepada kamu hari ini?”


Pantas seorang yang dekat dengannya, teragak-agak menjawab.


“Kami kenal kamu sebagai seorang yang baik. Kamu akan melakukan kepada kami yang baik-baik sahaja.”


Ketika ini, beberapa orang penduduk Makkah melihat goresan senyuman pada bibir lelaki mulia itu.


“Maka ketahuilah, pada hari ini, aku menyatakan kepada kalian apa yang dikatakan oleh Yusuf kepada saudara-saudaranya: Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.” Surah Yusuf ayat 92.


Semua yang hadir tergamam. Ada yang terus menitiskan air mata. Kebanyakannya mengangkat kepala. Wajah Muhammad bercahaya.


“Hari ini, aku ampunkan semuanya.”


Dan jerit kegembiraan ramai, membuntuti suasana.


Itulah dia pemimpin yang terbuang. Pulang tidak membawa dendam. Alangkah bahagianya jika dahulu diterima terus dakwahnya. Pasti hari ini akan tiba dengan lebih cepat.


Tetapi tiada yang mengetahui. Sungguh semua ini adalah tapisan Dia. Dan juga bagi mempersembahkan kepada orang-orang selepas ini, pengajaran yang berharga.



Credit: Langit Ilahi | Hilal Asyraf

←newer post
older post→